Saturday, September 20, 2008

Gesaan Untuk Mengadakan Sidang Khas Parlimen pada 23hb September 2008

Hari ini pemimpin Pakatan Rakyat telah menyerahkan surat kepada Perdana Menteri meminta beliau untuk mengadakan satu persidangan khas Parlimen Malaysia bagi membincangkan usul “Bahawa Dewan yang mulia ini telah hilang kepercayaan terhadap YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan kerajaan pimpinan beliau” dan persidangan tersebut perlu dilaksanakan tidak lewat dari hari Selasa 23hb September 2008.
Gesaan untuk mengadakan persidangan tersebut selari dengan Peraturan 11 (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan ianya menuntut satu jawapan segera dari YAB Perdana Menteri disebabkan kedudukan genting politik semasa. Sebarang kelengahan dari pihak YAB Perdana Menteri, akan ditafsirkan sebagai satu usaha untuk mensabotaj proses demokrasi dan dianggap sebagai satu penyalahgunaan Kuasa Eksekutif.

Tindakan YAB Perdana Menteri untuk bermain-main dengan istilah serta bahasa yang terkandung di dalam surat kami yang pertama, hanya memperlihatkan kepada rakyat jawapan yang tidak matang. Hasrat pertemuan yang dinyatakan di dalam surat tersebut sangat jelas, iaitu untuk membincangkan hala tuju kepimpinan negara- dengan mengambil kira kedudukan dan posisi beliau, kami telah mengambil satu jalan yang berhemah.

Saya mendapati komen Perdana Menteri terhadap saya sewaktu sidang media semalam sebagai tidak bertanggungjawab dan cuai terutamanya selepas penangkapan beberapa individu di bawah ISA pada hari Jumaat lepas.

Beliau telah mencampur-adukkan isu yang sebenar, iaitu isu demokrasi, kebebasan dan kedaulatan undang-undang dengan isu keselamatan negara. Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk mengganggu serta menahan ahli politik yang berseberangan dengan parti pemerintah merupakan satu pelanggaran undang-undang yang nyata. Penggunaannya yang berterusan pasti menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan memburukkan lagi suasana politik semasa.

Perdana Menteri ternyata mengabaikan kedaulatan undang-undang dan sanggup untuk melanggar batas-batas Kuasa Eksekutif yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini sangat menampakkan sikap seorang diktator yang degil untuk terus berkuasa dan menghampakan harapan rakyat.

Sebagai seorang Perdana Menteri yang masih berada di tampuk kekuasaan dan sebagai bekas Menteri Kewangan, kami akan memastikan beliau bertanggungjawab terhadap situasi politik semasa dan salah urus ekonomi negara. Tuduhan beliau bahawa saya yang menyebabkan kedudukan ekonomi negara tergugat sangat tidak berasas.

Saya telah bertemu dengan ramai pengurus dana di rantau ini, yang mewakili aset yang berjumlah USD 1 trillion dan mereka telahpun menyatakan sokongan mereka kepada perubahan menyeluruh di Malaysia termasuklah kebebasan kehakiman, media dan pihak polis serta agensi pencegah rasuah yang lebih professional, juga peraturan yang mesra pelabur dan jaminan tiadanya campur tangan ahli politik di dalam pengurusan Bank Negara. Inilah antara polisi yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat untuk dilaksanakan, dan insiatif inilah yang gagal diambil oleh pentadbiran sekarang terutamanya selepas 8hb Mac 2008.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat
--http://www.keadilanrakyat.org

Monday, September 15, 2008

Mari bersama perangi jenayah di Lembah Kelang

Nurul Izzah Anwar
Saya amat bimbang dengan kenaikan jumlah kes-kes jenayah di Lembah Pantai terutamanya di Bangsar.

Insiden-insiden seperti rompakan berkumpulan, ragut dan pecah masuk yang kerap berlaku pada waktu siang hari menunjukkan bahawa kita sekarang bukan sahaja terpaksa menghadapi harga barang yang meningkat tetapi juga jenayah berleluasa dalam kehidupan harian.

Langkah-langkah yang sedia ada untuk mencegah atau menyelesaikan kes jenayah belum cukup berhasil.

Saya juga hadir bersama Preity Ganthani, seorang lagi mangsa ragut yang diserang di luar premis ini. Kes Preity hanyalah satu kes dalam ribuan mangsa jenayah yang lain.

Preity telah cedera di lengan apabila begnya diragut dan terpaksa mendapat rawatan di hospital selama 4 hari demi menyelamatkan lengannya. Kita bersyukur Preity masih berada bersama kami pada hari ini.

Saya tidak suka untuk mengulangi desakan-desakan terdahulu kepada pihak berkuasa.

Tetapi, insiden seperti ini membuktikan betapa pentingnya bagi kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab dalam menyediakan sebuah negara yang selamat untuk Rakyat Malaysia.

Justeru, dalam mengakui kelemahan-kelemahan dalam sistem keselamatan Negara, adalah sangat mustahak bagi Kerajaan pusat mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Dengan adanya IPCMC, ia akan membuka ruang untuk kerjasama yang lebih antara pihak polis dan wakil-wakil dari masyarakat madani (civil society) dalam menyedari kelemahan yang ada dan mengenal pasti perubahan yang perlu dibuat untuk memperbaiki pasukan Polis Negara.

Nisbah anggota polis kepada penduduk Malaysia sangat hampir kepada taraf yang disyorkan oleh INTERPOL.

Ini bermakna, perlu adanya penilaian semula keberkesanan langkah-langkah yang digunakan pihak polis sekarang. Ini menunjukkan keperluan IPCMC.

Secara khusus, dalam membincangkan scenario di Lembah Pantai, saya, bercadang untuk mengadakan rundingan khusus bersama badan-badan bukan kerajaan, penduduk-penduduk dan tokoh-tokoh penting setempat dalam merangka program-program 'action-oriented' di lokasi-lokasi strategik.

Kita akan mulakan dialog bersama Persatuan-persatuan penduduk, Pihak Polis, Malaysian Crime Prevention Foundation dan juga Rukun Tetangga.

Saya menyeru semua penduduk setempat untuk bersama kita mengambil bahagian dalam usaha ini.

NURUL IZZAH ANWAR
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Kenyataan Media
17 Jun 2008. - mr_

Wednesday, September 10, 2008

"Saya tidak popular di kalangan DBKL"

Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali memberitahu bahawa beliau adalah antara individu yang 'tidak popular' di kalangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menjalankan tanggung jawabnya memenuhi kehendak dan suara hati rakyat khususnya melibatkan warga kota.yang melibatkan sebarang kritikan, teguran dan cadangan adalah semata-mata untuk memastikan pihak berkuasa tempatan seperti DBKL dapat berfungsi dan menyediakan khidmat masyarakat dengan lebih efisien dalam menyediakan infrastruktur dan prasarana kepada rakyat.

"Saya tahu, saya tidak popular di kalangan DBKL kerana menjalankan tanggung jawab saya sebagai ahli parlimen dan wakil kepada rakyat yang perlu membawa dan menangani masalah rakyat dengan sebaiknya.

"Lihat hari ini, saya kesal kerana tiada seorang pegawai DBKL yang hadir bersama-sama dalam lawatan saya hari ini untuk memberi taklimat tentang kompleks ini," katanya ketika ditemui sewaktu membuat lawatan ke tapak Kompleks Pasar Keramat pagi tadi dekat sini.

Katanya kehadiran pegawai DBKL adalah penting untuk memberi penjelasan tentang operasi perjalanan tapak projek yang dilaksanakan di samping dapat berbincang dengan lebih fokus kepada penambahbaikan demi memberi kemudahan kepada rakyat setempat.

ImageUntuk tujuan itu beliau telah mengikut prosedur dan kaedah yang disarankan dengan menghantar surat rasmi dan menghubungi DBKL bagi memohon pegawai DBKL yang terlibat seperti Pengurus Cawangan DBKL Titiwangsa untuk membantu dalam lawatan tersebut.

"Respons begitu mengecewakan dan saya mengambil keputusan untuk melawat tapak projek tanpa kehadiran pegawai DBKL," katanya.

Dalam lawatan tersebut, jurutera Pembina Ikasas Merak Amirul Hisham dan QS Shahrul Suwandi memberi taklimat ringkas dan membawa Dr Lo' Lo' melawat kompleks empat tingkat itu yang dijangka siap pada penghujung Ogos depan.

Menurut Amirul kompleks tersebut menempatkan 118 buah ruang niaga untuk perniagaan barang basah sepeti ikan, sayur dan ayam manakala 190 kedai mini yang dikenali sebagai 'lock-up stall' disedikan untuk para peniaga.

Kompleks itu juga menyediakan kemudahan Banquet yang boleh memuatkan 1,000 kehadiran tetamu untuk majlis perkahwinan, 134 'stall' medan selera, dua ekskalator, tujuh lif, kemudahan surau dan sejumlah 400 tapak meletak kereta bagi kemudahan orang ramai.

Image"Secara peribadi, kemudahan dan prasarana kompleks ini kita berpuas hati namun ada beberapa perkara yang harus diperbaiki.

"Namun dalam hal ini saya perlu juga mendengar keluhan dan masalah peniaga Pasar Keramat lama terlebih dahulu yang tidak mahu berpindah," kata Dr Lo' Lo' yang akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dalam masa terdekat.

Kira-kira setengah jam lawatan itu tiba seorang pegawai DBKL menghampiri Dr Lo' Lo' untuk bertanya dengan nada serius: "Ini lawatan rasmi atau mengejut?

Namun 'salam perkenalan' pegawai DBKL itu dijawab secara tenang oleh Dr Lo' Lo' bahawa tujuan lawatan itu adalah bagi memenuhi permintaan rakyat dan para peniaga yang mahu beliau dengan segera melawat tapak projek dan memberi maklum balas selanjutnya.

"Saya Ahli Parlimen mereka dan saya mesti respons dengan segera. Saya secara rasmi menghantar surat dan menghubungi DBKL dua minggu lalu, saya tidak boleh tunggu dan tangguh lagi.

"Saya datang kerana rakyat dan sebilangan besar peniaga Pasar Keramat yang meminta saya melawat tapak projek ini dan mesti respons dengan segera," katanya dan pegawai tersebut lalu beredar tanpa turut serta dalam lawatan tersebut.

ImageDalam pertemuan selepas lawatan itu, Dr Lo' Lo kesal dengan layanan yang diberikan oleh pihak DBKL dalam membantu beliau menyelesaikan dan membantu masalah rakyat.

"Semua sudah saya buat, semua saya ikut dan dah buat apa yang diarahkan oleh DBKL, ikut prosedur tetapi jawapan dan tindakannya mengecewakan," katanya.

Sebelum ini Dr Lo' Lo' telah turun ke Jalan Pahang Barat dekat sini bagi membuat protes kenaikan kadar parking di Kuala Lumpur yang bakal dilaksanakan DBKL.

Dr Lo' Lo' bersama pemilik kenderaan sekitar Jalan Pahang telah berdemo bagi membantah kenaikan parking itu.

"Dahlah rakyat luka dengan kenaikan harga minyak, DBKL datang menyapukan garam pula ke atas luka ini," katanya membantah.

-- Harakah