Friday, August 15, 2008

Terharu dengan 'petugas' ber'tshirt' pagoda yang kini seorang MB

Walaupun cerita lama, terungkap di dalamnya kesedaran dan ukhwah sesama manusia. Bahkah lebih dari itu, terasa kemesraan dan tingginya nilai pertolongan sewaktu terdesak. Semuanya ini terjadi, ketika negara terkejut dengan isu "Deepa raya".

Rakan saya, yang kini Timbalan Pesurujaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Nazir Zakaria menceritakan pengalamannya itu. Suatu ketika keretanya pernah mengalami kerosakan gearbox di Lebuh Raya Utara Selatan, dekat susur keluar Tapah.

Ustaz Nazir berasal dari Kuala Kedah tetapi sudah lama menetap di Putrajaya. Kerosakan kereta itu terjadi sewaktu beliau hendak ke Kuala Lumpur.

Setelah tercari-cari siapakah yang boleh membantu, beliau menghubungi Setiausaha PAS Putrajaya, Wan Hasrul Affendi. Kebetulan kereta Proton itu dipinjam darinya dan Ustaz Nazir adalah Yang Dipertua PAS Putrajaya. Wan memberikan nombor telefon yang boleh dihubungi di kalangan aktivis PAS Perak.

Ustaz Nazir menghubungi nombor tersebut. Amran Harun, pemilik nombor telefon itu memberi jaminan akan menghantar seseorang ke sana. Ketika itu, Amran adalah Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS (JPN) negeri berpangkalan di Ipoh. Tidak lama kemudian, seorang petugas PAS sampai dan membawa Ustaz Nazir serta kereta tersebut ke sebuah bengkel.

Sikap bertanggungjawab Amran cukup terpuji. Setelah seminggu berlalu, Amran sendiri menghantar kereta yang sudah siap dibaiki ke rumah Ustaz Nazir di Putrajaya, dari Kampar. Amran juga adalah Setiausaha PAS Kawasan Kampar, waktu itu.

Ketika ummat Islam mahu menyambut hari raya Aidulfitri, yang dikongsikan oleh kerajaan Barisan Nasional dengan hari raya Depavali dan disebut "Depa Raya", sekali lagi Ustaz Nazir ditimpa kecelakaan. Tayar kereta Citra miliknya terbelah akibat terlanggar gigi jalan yang agak tajam di stesyen Petronas Hentian Rehat Tapah.

Ustaz Nasir bersama isteri dan anak-anak dalam perjalanan ke Kuala Kedah. Untuk berhari raya di kampong.

Waktu itu, tiada satupun kedai beroperasi kerana esoknya umat Islam akan menyambut hari raya Aidulfitri. Dan hari tersebut pula, orang sibuk menyambut hari raya Depavali. Ustaz Nazir bertambah panik, tiada tayar simpanan dalam kereta.

Tiba-tiba, beliau teringat Amran Harun yang pernah menolongnya kira-kira setahun sebelum itu. Beliau terus menghubungi Amran. Nampaknya, Amran masih mengenal Ustaz Nazir dan berjanji akan menghantar "petugas" ke Hentian Rehat Tapah itu dalam masa 30 minit.

Ketika itu, umat Islam masih berpuasa dan esok akan menyambut hari raya. Bayangkanlah, terbelahnya tayar kereta itu dalam suasana terik matahari. Tayar simpanan tiada. Selang beberapa minit, telefon berbunyi. Seorang "petugas" terus bertanya Ustaz Nazir, saiz tayar dan jenis tayar bagi memudahnya mendapatkan tayar berkenaan.

Kira-kira 30 minit kemudian, "petugas" berkenaan sampai dan membawa tayar terpakai. Seorang yang sederhana kurus, bercermin mata dan kelihatan peramah. Barangkali "petugas" itu tinggal tidak jauh dari Tapah.

Malangnya, tayar yang dibawa (terlekat bersama rim) tidak sesuai dengan kedudukan skru pengikat rim. Akhirnya, "petugas" itu mengajak Ustaz Nazir mencari kalau-kalau ada kedai atau bengkel yang beroperasi hari itu sekitar pekan Tapah.

Dengan menaiki kereta "petugas" itu, mereka menuju Pekan Tapah. Semua kedai kelihatan tertutup kaku. Tiada satupun bengkel yang membuka pintunya. Tiada juga kedai tayar yang menggamit pelanggan hari itu. Semua bercuti, sebab hari itu hari raya Depavali dan esok hari raya Aidulfitri.

"Petugas" itu melurukan keretanya ke arah Pekan Bidor. Jauh juga perjalanan dari Tapak ke sana. Patah semula ke arah Kuala Lumpur mengikut jalan lama. Mereka bernasib baik, terdapat satu bengkel yang masih beroperasi. Dan ada pula, tayar yang dicari-cari.

Dari jalan lama itu, mereka keluar ke susur Bidor dan masuk semula ke Lebuh Raya Utara Selatan menuju Hentian Rehat Tapah, tempat kereta Ustaz Nazir ditinggalkan bersama anak dan isterinya. Sebaik tiba, "petugas" itu terus membuka baju kemejanya. Yang tinggal hanya tshirt pagoda nipis berwarna putih.

Ustaz Nazir cuba untuk membantu tetapi ditegah oleh "petugas" itu. Kerana katanya, ini sudah jadi tanggungjawab beliau untuk menolong sesiapa sahaja khususnya ahli-ahli PAS sepanjang lebuh raya mahupun jalan lama yang merentasi negeri Perak.

Amranpun pernah memberitahu perkara itu. "Petugas" itu juga mengesahkan bahawa mereka ada team yang boleh dipanggil, jika berlaku musibah menimpa ahli-ahli PAS sepanjang perjalanan. Baik membabitkan kereta, motosikal mahupun kenderaan lain.

Peluh jantan mencurah-curah keluar. "Petugas" itu terus gigih memasang semula rim kereta. 'Tshirt' pagodanya sudah lenjun basah. Terik mahatari bukan kepalang. Hari itu, umat Islam berpuasa. Tentu sekali letih, dahaga dan tidak bermaya. Namun, "petugas" itu tekun menjalankan amanah parti, menolong sesama manusia.

Setelah selesai, dan "petugas" itu mengesat peluhnya, dia mengenakan semula baju kemejanya. Ustaz Nazir menghulurkan sedikit wang sebagai sagu hati. "Petugas" itu menolak, kerana katanya dia menolong dengan ikhlas. Bukan untuk mendapatkan wang.

Sebagai tanda ukhwah, rasa tanggungjawab dan tidak sampai hati, Ustaz Nazir menjadi serba-salah dengan penolakan "petugas" itu. Ustaz Nazir terus menghulurkan duit saguhati itu, kalau "petugas" itu tidak mahu menerimanya, beliau minta dimasukkan ke dalam tabung jamaah (PAS).

Sambil berpeluk-pelukan, Ustaz Nazir mengucapkan berbanyak terima kasih kepada "petugas" yang cukup baik hati itu. Beliau menghulurkan kad nama kepada "petugas" itu, kalau-kalau selepas ini boleh berjumpa di mana-mana, makan-makan sebagai tanda ukhwah.

"Ustaz Nazir Zakaria. Oh... Ustaz, Bendahari PAS Wilayah. Jadi Yang Dipertua Kawasan Putrajaya juga," kata "petugas" itu sambil membaca bait-bait yang ditulis pada kad nama Ustaz Nazir. "Petugas" itu juga turut mengeluarkan kad namanya dan menghulurkan kepada Ustaz Nazir.

"Ini kad ana. Manalah tau, kalau-kalau berlaku apa-apa, hubungi terus ana," ujar "petugas" itu sambil menghulurkan sekeping kad nama kepada Ustaz Nazir.

Tertera pada kad itu, nama Ir Mohamad Nizar Jamaluddin; Bendahari Badan Perhubungan PAS Perak dan (Yang Dipertua PAS Kawasan Kampar, Perak). Rupa-rupanya, "petugas" itu adalah kini, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan Amran Harun pula menjadi Pegawai Khas beliau. - tmj/mks._


-- Harakah

Wednesday, August 6, 2008

Dengarlah rungutan rakyat akibat kos sara hidup yang menekan

Sehingga ke hari ini rakyat terus memperkatakan darihal isu kenaikan kos hidup yang teruk melanda mereka rentetan dari kenaikan harga minyak petrol dan komoditi tempoh hari.

Sesungguhnya kehidupan rakyat disemua peringkat dari petani dan nelayan sehinggalah buruh, pekerja kilang, kerani, eksekutif, kakitangan dan pegawai kerajaan, kesemuanya terjejas hasil dari krisis ini.

Dalam ucapannya semasa membenatangkan "Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia ke Sembilan" Perdana Menteri membayangkan serisunya suasana ini sehingga menyebut bahawa kesan dari kenaikan ini dan ketidaktentuan yang disebabkan oleh faktor-faktor luaran, kerajaan menghadapi masalah melindungi rakyatnya.

Bagi mereka yang memiliki kudrat dan masa lapang mungkin pekerjaan sambilan atau perniagaan kecil-kecilan boleh diusahakan bagi menampung kelompongan akibat kenaikan kos hidup ini.

Itupun mungkin terpaksa mengorbankan apa sahaja masa yang sepatutnya terluang untuk kaum keluarga yang dikasihi.

Bagaimana agaknya warga emas, terutama mereka yang bergantung hidup atas pencen yang dibayar oleh pihak kerajaan.

Kita sebenarnya sibuk memikirkan masalah yang menimpa kita sehingga terkadang terlupa akan golongan ini.

Para pesara kerajaan yang telah berkhidmat untuk bangsa dan negara seakan terpinggir dalam negara memikirkan bagaimana mahu mengatasi kemelut yang besar lagi meruncing ini.

Jika kita yang masih gagah dan segar-bugar ini merasa tertekan akibat kenaikan kos hidup yang "menggila" ini, bagaimana agaknya mereka yang tidak ada sumber lain melainkan bergantung kepada bayaran pencen kerajaan itu.

Amalan di Malaysia adalah para pesara yang cukup tempuh akan menerima pencen bulanan kira-kira 50peratus dari gaji pokok terakhir yang diterima.

Ini bermakna sekiranya gaji pokok terakhir seseorang itu adalah RM800.00 ia akan hidup dengan pendapatan RM400 sepanjang usianya bersama isteri meniti sisa-sisa hidup masing-masing.

Naiklah harga minyak dan barangan berpuluh-puluh peratus sekalipun, sipesara tadi akan tetap hidup dalam keadaan demikian.

Akhirnya selain dari rakyat miskin yang sedia ada, para pesara kita juga nanti akan terjerumus menjadi jumlah tambahan kepada angka itu mungkin ada sebahagiannya masuk ke dalam kategori miskin tegar.

Keprihatinan pihak kerajaan dalam hal ini sangat penting, memandangkan situasi yang menimpa golongan ini.

Pilihannya kita samada membela mereka atau membiarkan mereka melarat dan sengsara.

Di sebahagian negara-negara dirantau ini kadar pencen yang dibayar jauh melebihi apa yang kita bayar, mungkin mengambil kira faktor kenaikan kos hidup dan seumpamanya.

Di Singapura dan Sri Lanka contohnya, kakitangan kerajaan yang bersara dibayar pencen 100peratus dari gaji pokok terakhir mereka, manakala di China, Korea Selatan dan Jepun mereka dibayar pada kadar 80 peratus.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK9 yang dibetangkan oleh Perdana Menteri menyarankan agar pihak kerajaan menimbang semula kadar pencen ini dengan mengambil kira situasi semasa.

Jika tidak pun kadar itu dinaikkan dari 90 ke 100 peratus sekurang-kurangnya kenaikkan 60 ke 75 peratus pasti meringankan beban mereka yang berada pada kategori ini.

Ianya mungkin memerlukan belanja tambahan, tetapi dengan penangguhan beberapa projek mega yang diumumkan oleh pihak kerajaan itu dan beberapa langkah penjimatan drastik, sekurang-kurangnya penjimatan itu bolehlah disalurkan ke arah golongan yang sangat memerlukan ini.

Roslan Shahir--

HarakahDaily.Net

Tuesday, August 5, 2008

Lebih 50 peratus katakan 'Tidak' pada Umno

Selain populariti Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang jatuh merudum lebih 50 peratus, hasil kajian Merdeka Centre baru-baru ini juga membuktikan 58 peratus responden menyatakan 'tidak' kepada Umno sebagai parti yang memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat.

Kajian yang dibuat pada Julai lalu yang melibatkan sejumlah 1,030 rakyat Malaysia memaparkan populariti Abdullah pada November 2004 adalah dalam kedudukan 91 peratus iaitu merupakan rekod yang tertinggi tetapi jatuh kepada 61 peratus setelah sepenggal menjadi Perdana Menteri.

Lebih mengejutkan ianya terus menjunam kepada 53 peratus pada bulan April sejurus selepas 8 Mac dan yang terkini jatuh kepada 42 peratus.

Kata Naib Presiden KeADILan Azmin Ali bahawa maruah Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi terus merosot sekaligus memberikan gambaran prestasi ekonomi, pelancongan, pelaburan berada di tahap 'paras hidung' malah jika silap langkah pastinya Malaysia berada di kelompok negara miskin.

Selain itu, berhubung sama ada Dato' Seri Najib Razak boleh menjadi seorang Perdana Menteri yang baik, kajian Merdeka Centre itu menunjukkan 47 peratus menyatakan 'Tidak' dan memberikan respon yang negatif.

Manakala sejumlah 55 peratus responden pula tidak percaya dakwaan liwat terhadap Anwar, 11 dan 26 peratus percaya fitnah tersebut dan selebihnya tidak pasti sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya malah dakwaan terhadap Anwar itu dikaitkan dengan motif politik dipercayai oleh sejumlah 66 peratus responden.

Majoriti responden sudah hilang keyakinan kepada badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tanggungjawab secara adil dan telus terutama membabitkan kes dakwaan liwat Anwar yang terkini.

Hasilnya sejumlah 50 peratus tidak percaya kepada badan kehakiman, 53 peratus Peguam Negara manakala 55 peratus terhadap polis.

Bagi Penasihat DAP Lim Kit Siang yang mendedahkan hal sama menggesa Abdullah dan kerajaan BN menggugurkan tuduhan liwat terhadap Anwar sebagai langkah untuk menamatkan krisis keyakinan rakyat terhadap beliau dan kerajaan pimpinannya memulihkan kembali poltik semasa, ekonomi dan krisis pembinaan bangsa.-Azamin Amin


--HarakahDaily.Net

Monday, August 4, 2008

Antara "Malaysia Boleh" dan pelacur Melayu di London

Shirzad Lifeboat

Sejak slogan "Malaysia Boleh" diperkenalkan oleh kerajaan Umno-BN satu ketika dulu, banyak benda yang diberikan pengiktirafan oleh kerajaan sendiri tentang kebolehan rakyat Malaysia melakukan sesuatu yang tidak terfikir boleh dilakukan sebelumnya dan juga sepatutnya tidak perlu untuk dilakukan.

Kita tak perlu bersusah payah mendaki Gunung Everest atau menumpangkan seorang yang kita sendiri iktiraf sebagai angkasawan untuk ke angkasa lepas hanya untuk membuktikan slogan "Malaysia Boleh".

Tentu lebih bermakna sekiranya kalau kalau rakyat Singapura boleh menikmati pendapatan lebih dari USD30,000 per kapita, maka kerajaan Malaysia bertungkus lumus untuk membuktikan rakyat Malaysia juga boleh.

Tetapi nampaknyanya semangat "Malaysia Boleh", lebih lazim dari tidak, kerap dipergunakan untuk perkara remeh dan tidak mendatangkan faedah yang tangible untuk rakyat.

Mungkin juga semangat Malaysia Boleh ini diambil oleh Noor Azura Mohd Yusoff, atau nama timangannya "Princess".

Princess adalah seorang remaja perempuan Melayu, beragama Islam dan berusia 22 tahun serta pekerja sebagai pelacur di London.

Hari ini nampaknya, orang Melayu sudah boleh menjadi pelabur di sebuah kota metropolitan seperti London. Dan rupa-rupanya cerita Sufiah, gadis genius Matematik yang juga melakukan pekerjaan yang sama di London bukanlah sebenarnya kes terpencil.

Cerita Noor Azura menjadi sensasi di London apabila beberapa hari lalu Mahkamah Old Bailey, London menjatuh hukuman 15 tahun penjara terhadap beliau kerana disabitkan bersubahat membunuh dan memenggal kepala seorang lagi remaja wanita Xie Xing Xing (bukan rakyat Malaysia) sebelum mencampakkan mayatnya ke dalam Sungai Thames.

Tentu sekali ia satu pembunuhan kejam. Apa yang menarik ia dilakukan oleh seorang remaja perempuan Malaysia di luar negara.

Tidak diketahui sekiranya Princess pernah mengikuti kursus khidmat negara namun apapun ia merupakan satu lagi kes "Malaysia Boleh"?


--HarakahDaily.Net