Thursday, January 22, 2009

Wakil Hamas, Palestin temui rakyat Kelantan malam esok

Wakil khas Hamas dan kedutaan Palestin di Malaysia dijangka menyampaikan ucapan sempena majlis pelancaran Tabung Amanah Cakno Palestin yang dianjur kerajaan negeri malam esok.

Wakil Hamas, Sami Abu Zuhri dan wakil kedutaan Palestin, Abdel Aziz Aboughous akan berucap pada majlis itu menceritakan pengalaman perang yang penuh menyayat hati akibat kezaliman Israel sepanjang 22 hari di Gaza.

Program itu akan diadakan di Stadium Sultan Mohamad Ke IV bermula solat Maghrib, zikir munajab, solat hajat dan Isya'.

Penolong pengarah program terbabit, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, program itu akan dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan dijangka sebanyak RM3 juta dapat dipungut pada majlis terbabit.

"Jumlah tersebut termasuk sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM1 juta, di samping agensi-agensi di bawahnya, pelajar sekolah, NGO, individu dan syarikat swasta," ujarnya di sini semalam.

Menurutnya juga pada 24 Januari ini seramai empat ahli rombongan akan menghantar sumbangan yang diterima ke Palestin bagi manfaat mangsa-mangsa perang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri berkata, pelbagai acara menarik diadakan sempena majlis itu.

Antaranya ceramah daripada wakil-wakil pemimpin politik, PAS, DAP, BN dan KeADILan. Selain itu wakil-wakil kaum iaitu Cina, India dan Siam.

Acara lain iaitu deklamasi sajak oleh Persatuan Penulis Kelantan (PPK), pentomin yang menggambarkan gimik pelancaran tabung amanah dan persembahan nasyid oleh Kumpulan Raihan.

Takiyuddin berkata, program sebenar bermula jam 5.30 petang di Dataran Stadium yang dimulai dengan acara 'speaker corner' dan persembahan sajak oleh penulis PPK.

Selain itu tabung-tabung derma juga dilancarkan di pusat-pusat membeli belah utama termasuk masjid di negeri ini.

Pameran dan pungutan derma diadakan di Tesco, KB Mall dan Mydin bermula 13 hingga 27 Januari ini.

Oleh itu beliau berharap orang ramai di negeri ini tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa hadir pada majlis tersebut sebagai menyatakan simpati terhadap nasib umat Islam di Palestin.
-harakah

Sunday, January 11, 2009

Dua lokasi dikesan port pengundi hantu

Kuala Terengganu – Angkatan Muda Keadilan (AMK) berjaya mengesan dua lokasi yang mungkin digunakan oleh Barisan Nasional sebagai ’port’ (tempat) meletakkan pengundi hantu.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia Shamsul Iskandar Mohd Akin bersama Pengarah Pilihanraya AMK Fariz Musa telah menyerbu lokasi berkenaan bagi mendapatkan maklumat sebenar tentang pengundi-pengundi yang didaftarkan di situ.

Bercakap di lokasi tersebut semalam, Fariz Musa berkata pihaknya berjaya mengesan pengundi yang meragukan, kemungkinan besar ’pengundi hantu’ berdasarkan Sistem Menang Pilihanraya (SISMEP).

”Kita berada di lokasi yang beralamat 78 Jalan Sultan Ismail, iaitu di pasaraya Hock Kee Seng, yang mana kami (AMK) berjaya mengesan lebih 20 pengundi wujud dalam senarai pengundi didaftarkan menggunakan alamat ini,

”Apabila kami meminta penjelasan dari pegawai pasaraya, beliau berkata tidak ada sesiapa yang tinggal dibangunan ini,” ujar Fariz.

Menurutnya SISMEP juga mengesan tiga nama dari daftar pengundi yang berdaftar pada alamat itu dikenalpasti sebagai ahli wanita UMNO yang berdaftar.

Katanya bukti itu mengukuhkan lagi dakwaan wujudnya pengundi hantu dan lokasi tersebuti adalah antara beberapa tempat yang digunakan Barisan Nasional untuk menempatkan pengundi hantu.Oleh yang demikian beliau menggesa pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengambil tindakan segera membersihkan senarai pengundi yang tidak wujud itu.

”Tindakan ini kami ambil supaya pihak SPR mengambil tindakan segera membersihkan senarai pengundi,

”Kami juga mencabar Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said (yang menafikan wujudnya pengundi hantu) supaya turun bersama AMK ke lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti.” katanya.
Beliau berkata antara lokasi lain dimana wujudnya pengundi hantu adalah adalah yang beralamat di No. 22 Jalan Sultan Ismail dan dirumah nenek beliau di Jalan Tekukur Kuala Terengganu.

”No. 22 Jalan Sultan Ismail adalah premis kepada Restoran makanan segera KFC dan Pizza Hut, di rumah nenek saya terdapat seorang berbangsa Cina berumur 82 tahun yang didaftarkan, ”katanya.

-

Wednesday, January 7, 2009

Syed Qutb menolak konsep Islam Hadhari?

Ketika mengarang ini, rumah di desa sedang berusrah. Dan, tatkala menyelak-nyelak pustaka rumah yang termuat di dalamnya buku-buku usrah, saya terlihat kitab Syed Qutb, Maalim fit Thariq (Petunjuk Sepanjang Jalan) yang diterjemah dalam bahasa Melayu.

Lalu dalam bab Islam Adalah Tamadun (al-Islam Huwa al-Hadharah), penulis yang amat terkenal dengan ketajaman mata pena itu menulis mengenai Islam sebagai berikut:

(Saya menitipkan beberapa perenggan dengan melompat-lompat dan tidak tersusun..)

'Masyarakat Islam' ialah masyarakat yang di dalamnya dilaksanakan Islam: akidah, ibadah, undang-undang, moral dan cara hidup.

Manakala masyarakat jahiliyah itu ialah masyarakat yang Islam tidak dilaksanakan di dalamnya; masyarakat yang tidak dipandu oleh Islam, baik dari segi akidah, konsep, nilai, sistem dan undang-undang, moral dan tatasusila.

'Masyarakat Islam' bukanlah sebuah perkumpulan atau organisasi manusia yang menamakan diri mereka 'MUSLIM' sedangkan syariat Islam tidak menjadi undang-undang masyarakat itu, walaupun mereka patuh bersembahyang, menunaikan rukun puasa dan naik haji ke Mekah.

'Masyarakat Islam' dengan bentuk seperti yang disebut di atas itulah sebenarnya masyarakat yang bertamadun, manakala masyarakat 'jahiliyah' dalam segala bentuknya adalah masyarakat 'songsang.'

'Islam Hadhari' dalam fahaman Syed Qutb
Maka.. pengarang Syed Qutb kembali menyambung hujahnya..

Saya pernah memasang iklan mengenai sebuah buku karangan saya yang masih di dalam percetakan.

Buku itu asalnya berjudul: 'Menuju masyarakat Islam yang bertamadun', tapi dalam iklan kali berikutnya saya buang perkataan 'bertamadun' dan judul buku itu diubah menjadi 'Menuju Masyarakat Islam' saja.

Perubahan judul ini rupanya menarik perhatian seorang penulis Al-Jazair (Algeria) yang selalu menulis di dalam bahasa Perancis.

Beliau lantas menulis sebuah artikel mengenai perubahan judul ini, dalam mana beliau telah membuat tuduhan bahawa perubahan judul itu berpunca daripada apa yang dinamakan beliau 'operasi mempertahankan Islam dari dalam jiwa.'

Beliau menyatakan kesalnya atas perubahan judul itu kerana itulah kononnya saya dianggap beliau sebagai tidak layak lagi membuat ulasan masalah itu mengikut keadaan yang sebenar.

Saya tidak ambil hati kepada penulis itu atas sikapnya yang demikian, sebab pada ketika mula-mula menulis judul buku berkenaan, cara berfikir saya masih serupa dengan cara berfikir beliau.

Persoalan yang berlegar dalam kepala saya ialah persoalan definisi 'tamadun' sama sahaja dengan persoalan yang selalu menari di dalam kepala beliau.

Syed Qutb mengaku tersilap dan jujur membetulkan kesilapannya
Akhirnya, Syed Qutb dengan penuh kejujuran, telah mengaku bahawa beliau sendiri telah terkeliru dengan konsep tamadun.

Maka, di atas kesilapan itu, beliau dengan mudah membetulkan kesilapannya. Ini kerana, beliau berfikir, merenung dan mengarang dengan penuh kejujuran dan keikhlasan..

Saya (Syed Qutb) terpaksa mengaku dengan berterus-terang bahawa cara berfikir saya pada ketika itu pun masih belum bebas sepenuhnya dari pengaruh sisa-sisa kebudayaan Eropah yang sama sekali asing dari selera keIslaman.

Sekali pun arah pemikiran saya begitu jelas ke arah Islam, namun sisa-sisa cara berfikir ala Eropah itu masih lagi mempengaruhi saya.

Definisi 'tamadun' ala Eropah selalu sahaja bermain-main dalam ingatan saya. Perkataan ini, kalau tidak penjelasan secukupnya, boleh mempengaruhi para pembaca dengan bayangan konsep asing yang aneh itu.

Perselisihan pendapat itu sebenarnya ialah mengenai definisi 'tamadun' dan dengan demikian perlulah persoalan ini dihuraikan dengan agak luas.

Islam itu sendiri telah mengusung makna tamadun
Dan akhirnya terserlah jualah kebenaran, 'Masyarakat Islam' adalah sebenar-benarnya masyarakat yang 'bertamadun'.

Dan pada akhirnya..Syed Qutb sendiri telah menarik satu kesimpulan sebagai berikut:

Perkataan 'bertamadun' sebenarnya tidak perlu dipakai, kerana ia adalah suatu omong kosong, tidak membawa sesuatu apa pun yang baru.

Wallahu'alam..

Kenapakah orang-orang seperti Syed Qutb ini dengan mudahnya mengaku kesilapannya sendiri? Pertamanya, beliau tidak memiliki apa-apa kepentingan diri. Hidup dan matinya telah diwakafkan seluruhnya untuk kemerdekaan jiwa, demi Islam dan Muslimin.

Beliau tiada kepentingan siasah seperti Abdullah Ahmad Badawi. PM seperti Abdullah ada cita-cita politik ketika membawa Islam Hadhari di dalam Perhimpunan Agung Umno dan ini membuktikan bahawa Abdullah tak jujur dan ikhlas dengan Islam Hadhari.

Pada tahun baru yang bakal menjelang sebentar sahaja lagi, dan bersempena Maal Hijrah ini, tulisan ini menyeru kepada Abdullah supaya bersikap ikhlas di dalam menerajui pemerintahannya.

Jika didapatinya ada kesilapan seperti mana Syed Qutb, maka dengan jujur hendaklah dia menggugurkan kalimat Islam Hadhari itu dan gunalah istilah lain seperti Muslim Hadhari atau apa-apa saja istilah bagi tujuan membetulkan dan membatalkan khilaf terdahulu.

Janganlah Abdullah risaukan sangat bahawa nantinya umat Islam di Malaysia akan mengejek-ejeknya pula di atas kesilapan tersebut. Itu tidak mengapa. Syed Qutb dengan rela dan ikhlas telah mengaku khilafnya. Tiada manusia sempurna.

Paling penting, gugurkanlah PPSMI ini. Abdullah sendiri tahu bahawa PPSMI ini adalah dasar yang batil. Yang menyebabkan Abdullah masih lagi pertahankan PPSMI, mungkin ini disebabkan oleh keegoannya.

Atau, andaian kedua, mungkin beliau masih takut dan gementar kepada Tun Dr Mahathir yang mengasaskan PPSMI tersebut. Wahai Abdullah, ikhlaskan dirimu mentadbir urusan-urusan kehidupan kami; warganegara Malaysia seluruhnya.. Wallahu'alam..

9:36 p.m, 31 Disember 2008
Sekolah Pemikiran Pendang
_

-harakah

Tuesday, January 6, 2009

PILIHANRAYA KECIL KUALA TERENGGANU

Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu

Penamaan Calon Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu P:036 pada 06 Januari 2009 di Stadium Negeri


Tuesday, October 7, 2008

Ulama tunjuk bakat sedia nasi bukhari

Ribuan rakyat Kelantan dijangka memenuhi Dataran Stadium Sultan Mohammad ke IV Khamis ini (9 oktober) bagi menikmati keenakan aneka juadah sempena hari terbuka Perhubungan PAS Kelantan.

Pelbagai aneka juadah, makanan dan minuman disediakan 14 PAS kawasan, Dewan Ulamak PAS Negeri, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Program yang menjadi acara tahunan sejak beberapa tahun lalu itu mendapat sambutan di luar jangka apabila lebih 10,000 hadir.

Dan tahun lepas lebih 20,000 penduduk menghadiri program berkenaan yang juga diadakan di Dataran Stadium biar pun dalam keadaan hujan lebat.

Program tahun ini dijangka lebih meriah dengan kehadiran Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim ke majlis tersebut. Jamuan akan bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

Pada jam 11.30 pagi Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Yassin Yusof berkata, wakil-wakil rakyat yang hadir juga diberi kesempatan untuk merakamkan ucapan Selamat Hari Raya kepada tetamu dan orang ramai yang hadir pada program tersebut.

"Pada program itu Dewan Ulamak akan menyediakan nasi bukhari, Dewan Muslimat (kuih muih), Dewan Pemuda (pelbagai jenis minuman), PAS Pengkalan Chepa dan Kota Bharu (satay).

"Ketereh (roti jala), Gua Musang (martabat) dan Kuala Krai (lemang dan ketupat)," katanya di sini.

Manakala pada sebelah malam akan diadakan ceramah perdana yang menampilkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Anwar, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan anggota parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail di stadium.

Pada majlis berasingan sebelum itu, Ketua Umum KeADIlan dijangka menghadiri rumah terbuka anggota Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani di Dewan Majlis Daerah Tanah Merah pada sebelah petang.

--Lanjusoh (Hrkh)

Monday, October 6, 2008

Kelainan 1 Syawal di Kelantan begitu terasa

KOTA BHARU, 6 Okt (Hrkh) - Biar pun suasana kegembiraan Hari Raya Aidilfitri semakin berlalu, namun bahangnya masih terasa dengan pelbagai kenduri kendara yang diadakan penduduk.

Kesesakan lalu lintas masih dirasai sehingga semalam memandangkan anak-anak perantau kembali semula ke destinasi mereka. Begitu juga dengan letupan mercun masih kedengaran di sana sini.

Kesyahduan 1 Syawal lalu begitu dirasai apabila pada malam raya kedengaran takbir dilaungkan di corong-corong masjid hampir di segenap tempat. Bermula jam 11 malam sehingga Subuh laungan takbir bergema.

Namun, malam raya agak tercemar dengan letupan mercun yang bertalu-talu seumpama lokasi peperangan di Palestin, Afghanistan atau Iraq. Asap mercun begitu kelam sekali sehingga menjadi jerebu pada malam raya. Image

Biar pun apa pun kelainan Syawal di Kelantan dapat dilihat apabila Qaryah Ramadan di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV masih menjadi tumpuan penduduk tempatan dan anak perantau menunaikan solat Hari Raya.

Turut kelihatan di qaryah tersebut anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Takiyuddin Hassan dan pegawai kanan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.

Manakala Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menunaikan solat Aidilfitri di masjidnya di Pulau Melaka dengan kehadiran orang ramai yang begitu menyedatkan.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob pula menunaikan solat Hari Raya di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu, Tumpat.

Anak-anak perantau pula tidak melepaskan peluang menghadiri perjumpaan Aidilfitri bersama pemimpin kerajaan negeri pada 2 Syawal bertempat di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan di Pengkalan Chepa.

Di kalangan siswazah pula berkempatan bertemu dengan pemimpin kerajaan negeri pada Ijtimak Markaz Siswazah Kelantan yang diadakan pada 3 Syawal di Balai Islam Lundang.

Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK) pula mengadakan perhimpunan keluarga pada 4 Syawal yang dihadiri lebih 200 keluarga.

Perhimpunan itu diadakan di Pulau Melaka tidak jauh daripada rumah Menteri Besar yang juga penaung pertubuhan tersebut.

ImageJurucakap pertubuhan tersebut Nik Din Nik Mat berkata, melalui perhimpunan keluarga tersebut ia dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim di antara keluarga yang tinggal di seluruh pelusuk negara.

Katanya, perhimpunan seperti itu dijadikan sebagai acara tahunan yang bermula pada 1991.

"Saya amat terharu kerana pertubuhan ini berjaya menyatupadukan keluarga keturunan Raja Jembal yang sememangnya terkenal dengan pemerintahan yang adil dan saksama di Kelantan suatu ketika dahulu.

"Kalau Raja Jembal masih ada tentunya dia akan gembira melihat betapa ramainya anak cucu berkumpul dan saling sayang menyayangi di antara satu sama lain," kata beliau.

Yang Dipertua PKRJK, Nik Yusuff Nik Muhammad berharap kerabat pertubuhan tersebut sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama di antara satu sama lain.

Menurutnya semua kerabat mesti mempertahankan maruah keturunan Raja Jembal yang sentiasa bersatu padu, tolong menolong dan maju ke hadapan dalam pelbagai bidang.

"Raja Jembal merupakan seorang pemimpin yang disegani di Kelantan pada suatu ketika dahulu. Oleh itu kita perlu memastikan kehormatan diberi rakyat sejak dahulu terus dipertahankan," katanya.

Kata beliau sehingga sekarang ramai di kalangan kerabat Raja Jembal berjaya dalam pelbagai bidang termasuk pegawai tinggi kerajaan, menerajui syarikat besar, tokoh politik dan korporat.

Menurutnya juga PKRJK kini mempunyai seramai 1200 ahli dari seluruh negara dan mempunyai cawangan di Kedah dan Perak. Manakala usaha sedang dilakukan bagi menubuh cawangan di Terengganu.

PKRJK juga mempunyai laman web sendiri iaitu pkrjk.blogspot.com.

Sementara itu, Persatuan Penulis Kelantan (PPK) turut mengadakan majlis Pertemuan Hari Raya Aidilfitri di Gelanggang Seni, Sabtu lalu.

Turut hadir pada majlis itu pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Ustaz Nasruddin Mahmud Muhaidin mewakili Takiyuddin.

Berucap pada majlis itu katanya, kerajaan negeri mengisytiharkan Tahun 2009 sebagai Tahun Kesenian Kelantan sebagai usaha memartabatkan lagi seni budaya di negeri ini.

Katanya, mana-mana penyelidik yang berminat mencungkil mengenai kebudayaan dan kesenian dialu-alukan dan ia akan dibukukan sebagai bahan tatapan pelancong dan generasi akan datang.

"Sebenarnya masih banyak maklumat mengenai kebudayaan dan kesenian yang belum diangkat ke persada masyarakat. Oleh itu budayawan perlu mengembelingkan usaha bersama kerajaan negeri bagi mengetengahkan kesenian tersebut," katanya.

Beliau juga mencadangkan PPK memberi tumpuan bagi memartabatkan syiar Islam melalui aktivitinya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Ketua Satu PPK, Husdaini Mamat berharap kerajaan negeri menghidupkan semula anugerah Hadiah Sastera Negeri yang suatu ketika dahulu pernah diadakan di Kelantan.

Katanya, program itu wajar diadakan memandangkan di negeri ini terdapat ramai penulis yang berbakat besar dalam bidang penulisan.

Penyair terkenal, Wan A Rafar mendedahkan pengalamannya mengembara ke beberapa negara pada majlis tersebut termasuk di Istanbul, Turki, Bosnia dan beberapa negara Eropah untuk berrtemu dengan masyarakat Islam di sana.

"Hasil pengembaraan itu saya telah menulis dua buah puisi mengadunkan pengalaman yang amat bermakna," ujarnya. - mj